Pengalaman kerja seminggu
- AbubakrMaarof
- May 4, 2021
- 5 min read
Updated: Sep 7, 2022
Zaman sekolah, seingat aku kalau nak kata pengalaman kerja cuma pernah jadi fasilitator program kem cuti sekolah kat surau/masjid. Selebihnya banyak habiskan masa kat kebun keluarga di Telok Gong. Antara program yang aku ingat jadi fasilitator, Kem Anak Soleh (KAS) dan Program Hafazan Cuti Sekolah di Surau Puncak Alam.
Waktu IPT pon sama. Pernah terlibat jadi fasilitator. Antaranya, pernah naik motor kapcai gi program sekolah dengan Rafi Peguam Hipster. Dia ajak dan dia aktif jugak mengasah bakat budak-budak KUIS jadi fasilitator ni. Kenal dia pon sebab aku terlibat dalam minggu orientasi pelajar baru KUIS, pon sebagai fasilitator. haha
Di IPT jugak, selain aku ada terlibat dalam kerja NGO dan kelab/persatuan di KUIS, aku sempat jugak cari pengalaman kerja sebagai Mutawif sekitar tahun 2014 hingga 2019 dengan Andalusia Travel & Tours. Dengan kata lain, dari zaman penghujung Diploma (2014) hingga masuk Sarjana Muda dan sehinggalah aku habis Diploma Lanjutan di UKM (2019) bersama Andalusia.
Tapi yang ramai tak tahu, sebenarnya pada tahun 2018 aku pernah dapat tawaran pelantikan TETAP jawatan Penolong Pegawai Syariah LS29 di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Hari pertama aku lapor diri di JKSM, dapat satu surat penempatan ke Jabatan Bantuan Guaman (JBG).
Suka, duka, gembira, sedih, risau bercampur baur dalam waktu seminggu ni. Perasaan yang tak boleh digambarkan.
Waktu dapat tahu aku dicadangkan penempatan ke Kuching, aku terus merancang segala keperluan di sana. Alhamdulillah aku ada pengalaman dan pernah ke Kuching sebelum ini. Ramai juga kenalan di sana. Cawangan Andalusia Kuching pon aku pernah singgah. huhu
Kenalan, rumah sewa, pengangkutan, pejabat JBG di Kuching, jarak antara rumah sewa, pejabat dan airport semua aku atur baik-baik sebab nak bawa anak isteri ke sana.
Tinggal beberapa perkara tak beres termasuk Diploma Lanjutan Pascasiswazah Pentadbiran Kehakiman & Guaman Islam yang dah masuk tahun akhir. Lepas tahu tak ada cawangan untuk habiskan Diploma Lanjutan tersebut di Kuching, aku dah buat anggaran kos ulang-alik setiap hujung minggu untuk tetap habiskan juga pengajian tersebut di UKM Bangi. Bermakna dalam satu semester, ada dalam 12 hingga 14 minggu aku perlu ulang-alik dari airport Kuching ke KLIA.
Setelah selesai urusan pantadbiran di JKSM, dalam hari kedua atau ketiga aku melapor diri di JBG. Agak terkejut apabila dimaklumkan penempatan aku ditukar ke JBG cawangan Miri, bukan seperti dalam surat yang aku terima pada hari pertama aku melapor diri. Khabarnya di Miri lebih memerlukan staf.
Hari itu, aku rasa semuanya perlu dibuat kembali. Kenalan, rumah sewa, pengangkutan, pejabat JBG di Miri, jarak antara rumah sewa, pejabat dan airport, bajet dan flight dari Miri ke KLIA untuk Diploma Lanjutan di UKM semuanya perlu di dibuat 'homework' sekali lagi.
Fuhh..
Habis buat 'homework' dan berbincang dengan keluarga, dengan berat hatinya hanya ada satu solusi yang dicapai. Penolakan tawaran tersebut. Seminggu tak lena tidur malam juga fikir pasal ni. Dan akhirnya aku kembali ke JKSM dari JBG dan Jumaat itu adalah hari terakhirku di situ. Cukup 5 hari bekerja / seminggu di situ.
.....................................................................................
Yep, tak lama lepas peristiwa 'minggu yang bersejarah' tu, aku kembali ambil trip umrah sebagai Mutawif. Alhamdulillah dapat rezeki tunaikan umrah dengan anak isteri dan keluarga mertua pada akhir tahun 2018.
Awal tahun 2019 dapat rezeki tunaikan umrah dengan sebahagian keluarga aku pula termasuk mak dan ayah (kali pertama umrah keluarga pada tahun 2015, yang ni trip umrah keluarga Maarof kali kedua walaupon kali ni Omar & Osman tak ikut sekali). Permohonan diskaun dari Andalusia untuk mak ayah gi umrah juga diluluskan, sebagai hadiah untuk mereka jugak la.
Dan dalam tempoh sebulan selepas kami melaksanakan ibadah umrah tersebut, Allah ambil kembali ayahandaku, Maarof bin Jahaya setelah dipinjamkan pada kami. Allahummaghfir lahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu.
Barulah aku sedar, ada hikmahnya aku terpaksa tolak tawaran kerja sebelum ini. Rupanya Allah beri peluang untuk bersama dan berkhidmat pada ayah di Tanah Suci sebelum ayah berehat selamanya selepas balik dari umrah tersebut. Banyak juga waktu ayah berkerusi roda sebab tak larat berjalan, sakit lutut dan lelah dada.
Selepas balik umrah, Alhamdulillah ayah sihat dan boleh beraktiviti seperti biasa. Kuliah aku di UKM adalah pada hari Sabtu dari pagi hingga petang. Tetapi pada minggu tersebut, tiada kelas petang. Tengahari aku dah balik ke rumah dan dapat panggilan ayah pengsan di kebun kami di Telok Gong.
Hari itu, selepas aktif ayah kerja kebun, tengahari mandi, solat zohor dan makan tengahari lauk kesukaannya iaitu udang. Kemudian ayah berehat dan ketika itulah ayah pengsan. Panggil ambulan dan petugas kesihatan sahkan ayah dah tiada pada waktu tersebut. Aku bergegas ke kebun dan van jenazah dari surau berdekatan dipinjam untuk bawa ayah ke rumah kami di Meru. Sesampainya di rumah, ramai kenalan termasuk jiran, saudara, kawan dan AJK surau dan masjid sudah menunggu di rumah bersama kelengkapan mandi jenazah. Selepas pengurusan jenazah, aku selaku anak sulung menjadi imam solat jenazah dan malam itu juga petugas masjid beritahu boleh terus dikebumikan kerana semua telah tersedia di Tanah Perkuburan. Alhamdulillah semuanya dimudahkan.
Tak lama lepas ayah meninggal dunia, terima panggilan pula lapor diri ke Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) sebagai Penolong Pegawai Syariah LS29. Penempatan sebagai Penolong Pendaftar di Mahkamah Rendah Syariah Sepang. Alhamdulillah.
Allah al-Baari'. Allahlah yang Maha Mengatur segalanya.
Alhamdulillah setakat ini masih di JAKESS. Pernah lulus ujian psikometrik SPA untuk jawatan Pegawai Syariah LS41 di JKSM tetapi tidak berjaya semasa proses temuduga pada bulan Julai 2020.
Baru-baru ni pada April & Jun 2021 dapat keputusan lulus ujian online PSEE SPA untuk jawatan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam S29 dan Pegawai Hal Ehwal Islam S41. Dia akan beritahu tarikh untuk hadir Profession Assessment Center (PAC) pulak.
[KEMASKINI PADA 21 JUN 2022]
9 Disember 2021 yang lepas dapat panggilan untuk peperiksaan online (PSEE) bagi jawatan Penolong Pegawai Syariah Gred LS29 di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Alhamdulillah BERJAYA dan 22 Disember 2022 dapat panggilan untuk ujian psikometrik (PSEE) tapi terlepas pandang, tak jawab sebab masa ni rumah family di Meru baru lepas banjir, sibuk mengemas rumah.
Alhamdulillah, untuk jawatan S29 & S41 berjaya hingga ke temuduga setelah melalui perjalanan yang panjang:-
1) Peperiksaan online (PSEE): seksyen A - Pengetahuan Am, seksyen B - Daya Menyelesaikan Masalah & seksyen C- Kefahaman Bahasa Inggeris.
2) Ujian Qiraat
3) Program Pusat Penilaian JAKIM
4) Temuduga.
16 Jun 2022 selesai temuduga di Presint 1 Putrajaya untuk jawatan S29. Pada 24 Jun ni pula temuduga untuk S41 di tempat yang sama insya'allah.
8 Jun 2022 ada dapat peluang untuk peperiksaan online (PSEE) Ujian Psikometrik untuk jawatan Pegawai Syariah LS41 di JKSM. Tapi tak berjaya ke peringkat seterusnya. huhu..
[KEMASKINI PADA 07 SEPTEMBER 2022]
Alhamdulillah, untuk jawatan S29 telah dapat surat tawaran pada minggu ini. Untuk S41 masih lagi berharap kerana menjadi calon simpanan. Kedepan? Wallahua'lam..

Gambar ni masa aku masih belajar di KUIS. Shooting untuk barisan kepimpinan Minggu Orientasi Sekretariat Taaruf & Latihan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Masa ni jadi Timbalan Pengarah 'bidan terjun'. haha
Di lokasi ini juga aku menghabiskan masa berfikir sewaktu di JBG. Rupanya ini adalah pejabat JBG bahagian Syariah di Putrajaya. Lokasi ini dan kejadian yang telah berlaku di situ akan kekal dalam ingatan sepanjang hayat.
Comments