top of page
Search

Cerpen Dakwah Sempena Sambutan Maulidur Rasul 2020

  • Writer: AbubakrMaarof
    AbubakrMaarof
  • Nov 3, 2020
  • 10 min read

Tahun ini, Sambutan Maulidur Rasul 1442 Hijrah berlaku sewaktu perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor.


Badan Kebajikan Kakitangan Mahkamah Syariah Selangor (BAKEMAS) telah menganjurkan pertandingan menulis cerpen seperti poster di bawah dan Alhamdulillah dapat jugak turut serta dalam program ni.


Inilah cerpen yang sempat aku siapkan dan hantar. Seronok jugak cuba-cuba buat cerpen ni. Ada masa nanti ingat nak buat detail lagi tentang 5 tahun pengalaman jadi Mutawif, banyak cerita boleh share. Suka-duka-pahit-manis-sedih-gembira dll 😄




Cerpen Maulidur Rasul

Pagi ini, kami masih di rumah seperti hari-hari sebelumnya. Setelah seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, semua masih lagi terikat dengan arahan supaya duduk di kediaman masing-masing bagi memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 yang kini telah merebak ke seluruh dunia. Selepas bersarapan, isteriku telah meminta supaya mengasingkan pakaian yang tidak mahu dipakai lagi. Mungkin ada yang sesuai untuk diberi kepada kenalan lain atau boleh dijadikan kain buruk di dapur.

“Asingkan, kemudian letak di mana?”, tanyaku.

“Letak baju-baju tu dalam kotak ni nanti”, jawab isteriku.

Anak-anak masih lagi tidur di dalam bilik, membolehkan aku untuk fokus membuat tugasan tersebut sambil isteri mengemas di dapur. Ketika memunggah keluar pakaian yang berada di dalam almari, baru aku sedar ada beberapa helai jubah yang sudah terlalu lama tak dipakai. Setiap satu jubah itu menyimpan memori yang sangat indah sewaktu aku menjadi Mutawif sekitar tahun 2014 hingga 2019. Tapi aku memilih untuk meletakkannya ke dalam kotak yang disediakan tadi, dengan harapan ia dapat dimanfaatkan oleh orang lain nanti.

Tiba-tiba, aku terpandang sehelai baju tanpa lengan yang biasanya dipanggil vest berwarna biru tua di sudut hujung rak baju lalu mencapainya. Ini adalah baju rasmi semasa bertugas dan jika bukan dalam ihram, ia wajib dipakai setiap masa supaya jemaah yang ada kemusykilan atau tersesat jalan boleh berjumpa mana-mana petugas yang memakai vest ini. Terimbau kenangan sewaktu sedang aktif menguruskan jemaah menziarahi makam Rasulullah di Madinah dan juga sewaktu membantu mereka melaksanakan ibadah umrah di Mekah.

“Baju tu biarkan je dulu, mana tahu nanti ada rezeki boleh bawa trip umrah lagi.”, kata isteriku.

“Nak bagi orang tak boleh, nak jadikan kain buruk pon tak boleh sebab kainnya tak serap air”, tambahnya lagi.

“Itu la. Kainnya dah lusuh, warna pun dah pudar. Kalau ikut dah boleh dibuang ni, tapi sayang sebab memori lima tahun dengan vest ni”, balasku.

Ibadah umrah sememangnya memerlukan kekuatan fizikal dan mental, lebih-lebih lagi untuk petugas yang menguruskan jemaah. Bayangkan seorang Mutawif perlu menguruskan seramai 30 hingga 40 orang, dengan bermacam karenah dan semua dari latar belakang yang berbeza, di tengah-tengah lautan manusia yang bermacam ragam dan berhimpit-himpit. Ada rombongan yang aku bawa, tak rasa langsung kepayahan menguruskan mereka. Semua dengar kata, tepati masa, tidak terpisah dari kumpulan, tidak terkejar-kejar dan tidak diuji dengan masalah kesihatan. Allah beri kemudahan, kelapangan dan kesihatan kepadaku dan jemaah.

Tetapi ada juga rombongan yang Allah uji dengan berbagai jenis ujian dan pada waktu ini, kesabaran dan rasa kebertanggungjawaban perlu ada pada seorang Mutawif. Pengalaman inilah yang aku rasa banyak mengajar dan menjadi panduan pada hari-hari mendatang, selain aku harap ia menjadi amal soleh yang diterima Allah dengan niat dan usaha aku untuk membantu para tetamu Allah dan tetamu Rasulullah sewaktu diuji dengan masalah-masalah tersebut.

Aku tahu, ia takkan sama dengan ujian yang pernah diberi kepada Rasulullah. Sejak dari lahir hingga wafatnya, Baginda diduga dengan bermacam ujian. Teringat satu soalan yang ditanya oleh salah seorang jemaah sewaktu selesai melaksanakan ibadah umrah di kawasan bukit Safa & Marwah.

“Ustaz, ustaz kata tempat lahir Rasulullah ada sekitar sini kan?” soalnya.

“Rasul lahir di rumah atau hospital ustaz?” soalnya lagi sebelum sempat aku menjawab.

“Jom kita ke sana”, sambil aku menunjuk ke satu bangunan yang dinamakan Maktabah Makkah al-Mukarramah.

“Khabarnya, tapak Maktabah itu asalnya adalah rumah Abdullah, bapa kepada Rasul kita dan di situlah Baginda dilahirkan” jawapanku terhadap kedua-dua soalan yang ditanya tadi.

Lantas kami saling berkongsi cerita mengenai tabahnya Rasulullah yang tidak pernah sempat bertemu ayahnya kerana telah meninggal sebelum beliau dilahirkan dan juga kehilangan ahli keluarga terdekat lain yang menjaganya sewaktu kecil. Ketika dewasa dan setelah mendapat wahyu, ujiannya bahkan semakin berat dan payah dengan tekanan yang dihadapi daripada kaumnya sendiri.

Terasa seperti bayu angin malam di puncak Jabal Nur menerpa muka walaupun saat ini aku sedang mengemas baju pada siang hari di rumahku. Teringat memori mendaki puncak bukit itu hingga sampai ke puncaknya lantas terus menuju ke tempat yang dinamakan Gua Hira', tempat Rasulullah menyepi dan menghindarkan diri dari masyarakat ketika itu yang sering melakukan maksiat. Di situ jugalah Baginda menerima wahyu yang pertama seterusnya menjadi permulaan episod dakwahnya.

Tanpa disedari, kotak yang diberi isteri tadi sudah penuh dengan pakaian. Aku menutup kemas kotak tersebut menggunakan pita pelekat dan ke dapur sebentar kerana teringat sarapan nasi lemak yang dimasak oleh isteri pagi tadi masih banyak lagi berbaki.

“Kotak dah penuh, macam mana?” soalku dengan suara yang sedikit tinggi selepas selesai makan kerana isteri sudah di ruang tamu.

“Letak di bilik sebelah, ada dua kotak saya dah kemas semalam”, balasnya sambil kulihat sedang menyuapkan anak sulungku yang berusia tiga tahun makan.

“Dah bangun rupanya kakak Nusaibah”, tegurku.

Aku mengangkat kotak tadi ke sebuah bilik yang kami jadikan stor dan mengemas stor tersebut supaya nampak lebih kemas dan tersusun. Sekali pandang, kelihatan seperti orang yang mahu pindah rumah dengan kotak-kotak pakaian terpakai yang ada ditambah dengan barangan lain yang juga mahu diberi kepada orang lain kerana tidak lagi digunakan. “Dah macam rumah orang nak pindah rumah je”, bisik hatiku.

Lamunanku terhadap Baitullah semasa mengemas jubah dan vest Mutawif tadi seakan kembali bersambung. Aku membayangkan keadaan semasa proses perpindahan para sahabat dari Mekah ke Yathrib atau nama barunya setelah peristiwa tersebut iaitu Madinah an-Nabi atau Madinah al-Munawwarah. Bukan mudah bagi para sahabat membulatkan tekad untuk keluar dari kampung halaman dan terpaksa meninggalkan rumah, harta dan kaum keluarga mereka menuju ke suatu tempat yang jauh dan belum pasti lagi apa pula yang menanti mereka di sana. Proses perpindahan inilah yang dinamakan hijrah.

“Mana Gua Thur yang ustaz cerita dalam bas tadi?” tanya seorang ahli rombongan ketika kami berhenti di tepi jalan untuk melihat Jabal Thur.

“Guanya ada di atas bukit tu”, jawabku sambil menunjuk ke arah bukit yang nampak jelas dari tepi jalan itu.

“Kita tak perlu naik ke sana hajah, bahaya” tambahku lagi.

“Kalau hajah nak tengok rupa gua tu, boleh beli buku yang budak tu jual, biasanya dalam lima hingga sepuluh riyal. Jelas gambar guanya”, aku memberi cadangan kepada wanita yang berusia dalam 50-an itu sambil memandang kearah seorang budak lelaki yang sedang berjalan ke arah kami untuk menjual buku yang dibawanya.

Kebiasaannya, cerita mengenai peristiwa di Gua Thur dikongsi kepada jemaah sewaktu program ziarah luar kota Mekah. Antara tempat yang akan menjadi persinggahan adalah di tepi jalan yang boleh dilihat Jabal Thur dengan jelas. Waktu itu, kisah hijrah Rasulullah bersama sahabat karibnya iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq selepas 13 tahun mereka berdakwah di Mekah seakan menjadi kewajipan untuk para Mutawif kongsikan bersama ahli rombongan mereka. Hijrah adalah satu peristiwa penting yang sangat memberi kesan terhadap dakwah dan perkembangan Islam pada ketika itu dan sepatutnya menjadi suri teladan untuk umat Islam pada hari ini.

Selain itu, sewaktu program ziarah luar tersebut, biasanya rombongan akan dibawa bersiar-siar di sekitar kawasan penting dalam ibadah Haji iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina. Kebiasaannya juga bas akan berhenti seketika di Jabal Rahmah yang berada di Arafah.

“Ustaz, orang kata di sini elok doa jumpa jodoh. Betul ke?”, tanya seorang jemaah.

“Kenapa hajah, nak doakan untuk suami ke?”, selorohku.

“Bukan ustaz, nak doakan anak”, jawabnya kembali.

“Lebih baik hajah berdoa di depan Kaabah atau tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa. Arafah menjadi tempat yang mustajab untuk berdoa hanya sewaktu musim Haji, ketika jemaah sedang berwuquf di sini’, balasku.

“Habis tu kenapa kita berhenti di sini ustaz?”, soalnya kembali dalam nada gurau mungkin untuk mendengar apa jawapanku.

“Untuk beli aiskrim sambil bergambar dengan unta tu hajah. Kesian unta tu penat berhias nak bergambar dengan kita”, balasku juga dalam nada gurau sambil menunjuk ke arah beberapa ekor unta yang berlegar di sekitar dataran kaki bukit tersebut.

Setelah itu, jemaah di bawa ke salah satu tempat bermiqat iaitu Ji’ranah. Ini adalah tempat bermiqat Rasulullah sewaktu umrah Baginda yang ketiga pada tahun lapan hijrah selepas peristiwa peperangan Hunain. Selesai menziarahi Masjid Ji’ranah, aturcara program ziarah luar ini biasanya ditamatkan untuk memberi jemaah masa bersiap-siap melaksanakan solat fardhu Zohor di Masjid al-Haram.

“Ustaz, berapa kali sebenarnya Rasulullah lakukan ibadah umrah?”, aku pernah ditanya begini oleh seorang jemaah cilik sewaktu program ziarah tambahan di Muzium Haramain dan Masjid Hudaibiyah.

“Rasulullah hanya empat kali melakukan umrah dalam hidup Baginda”, balasku.

“Kali pertama pada tahun enam hijrah. Bermakna setelah enam tahun Rasulullah dan para Muhajirin berada di Madinah dengan kerinduan yang teramat sangat terhadap kampung halaman mereka, akhirnya Rasulullah diberikan wahyu dalam mimpi Baginda. Ia adalah satu khabar gembira kepada umat Islam dan diceritakan juga dalam al-Quran surah al-Fath ayat ke-27”, ulasku.

“Tetapi, pada tahun itu umat Islam terhalang dari memasuki kota Mekah dan mereka telah bertahallul dan membayar dam. Peristiwa itu berlaku di kawasan Hudaibiyah ini”, tambahku yang berada betul-betul di tapak masjid lama Hudaibiyah bersama jemaah cilik tersebut yang ditemani ibu dan ayahnya.

“Owh, waktu itulah cerita mengenai Perjanjian Hudaibiyah dan Bai’ah ar-Ridhwan berlaku ya ustaz, seperti yang ustaz cerita dalam bas tadi?”, celah ayah kepada kanak-kanak tersebut.

“Ya, betul tu haji. Umat Islam dapat melaksanakan ibadah umrah dengan aman pada tahun berikutnya, pada tujuh hijrah dan itulah juga umrah kedua Rasulullah”, tambahku.

“Umrah yang ketiga saya tahu, ustaz dah cerita masa ziarah luar haritu di Ji’ranah. Umrah yang terakhir pula ustaz?”, tanya bapa kanak-kanak tersebut menunjukkan dia mendengar dengan penuh minat tentang umrah Rasulullah.

“Kalau pernah dengan Hajjatu al-Wada atau Haji selamat tinggal, waktu itulah Nabi buat umrah yang terakhir. Peristiwa ini berlaku pada tahun sepuluh hijrah”, balasku.

“Waktu ini jugalah Rasulullah sampaikan khutbah terakhir kan ustaz?”, tanya ibu kanak-kanak tersebut pula.

“Ya hajah, seperti yang diceritakan dalam bas sewaktu perjalanan kita dari Madinah ke Mekah haritu”, balasku lagi.

Lamunan kali ini terhenti sekali lagi apabila anak sulungku, Nusaibah mengajak untuk keluar bermain basikal di halaman rumah. Dalam tempoh PKP ini, kanak-kanak seusia dengannya tidak melepaskan peluang untuk bermain dan melupakan seketika rutin harian mereka yang sepatutnya telah ke rumah pengasuh atau taska. Mungkin mereka tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang melanda dunia pada hari ini. Bukan sahaja anakku, anak-anak jiran juga turut tidak melepaskan peluang bermain di halaman rumah masing-masing. Bezanya, mereka hanya bermain sendirian atau bersama adik-beradik masing-masing sahaja, tidak boleh berada di luar kawasan pagar rumah.

“Kakak, tengok tu polis datang. Polis tak bagi kita keluar jalan-jalan, bahaya”, aku menjelaskan pada Nusaibah tatkala dia ingin bermain di luar pagar rumah dan kebetulan polis sedang melakukan rondaan di kawasan taman perumahan ini.

“Semua diminta berada di dalam kawasan rumah masing-masing dan jangan keluar jika tiada sebarang keperluan penting atau anda akan dikompaun”, amaran yang jelas dari pihak polis yang bercakap melalui pembesar suara.

Nusaibah yang dari tadi menjenguk di celah jeriji pagar kembali bermain basikal setelah dua kereta polis yang sedang meronda itu membelok ke selekoh dan hilang dari pandangan.

Tengahari itu, aku bercadang untuk ke pasaraya berdekatan untuk membeli keperluan dapur. Kali terakhir aku keluar membeli adalah pada empat hari yang lepas, setelah beberapa hari dikuatkuasakan PKP. Senarai barang untuk dibeli telah disediakan awal oleh isteri supaya tidak perlu kerap keluar dalam waktu begini.

“Beli barang ni sahaja, jangan beli yang bukan-bukan pula”, kata isteriku semasa memberi senarai barangan yang perlu dibeli nanti.

“Kenapa tulis atas kertas, tulis di whatsapp kan mudah”, balasku.

“Waktu beli nanti jangan pegang handphone, bahaya. Virus tu kita tak nampak, kurangkan sentuhan. Kertas ni nanti dah habis beli, buang terus”, balasnya pula.

“Lepas beli barang, lumur tangan dengan hand sanitizer sebelum masuk kereta. Sampai rumah, basuh dahulu semua barang di luar sebelum bawa masuk rumah. Masuk rumah awak kena mandi dulu, pakaian yang dipakai terus basuh”, antara pesanan isteri padaku sebelum aku keluar ke pasaraya. Panjang lagi rasanya jika mahu ditulis semua bebelannya pada waktu itu.

Di pasaraya, sangat panjang barisan mereka yang mahu membeli barangan keperluan. Pihak pasaraya mengawal pembeli yang mahu memasuki premis supaya tidak menjadi terlalu sesak. Sewaktu berbaris, aku dapat melihat satu persatu troli mereka yang penuh dengan barangan ditolak keluar dari kaunter bayaran.

“Ada lagi ke barang dalam tu?”, soal pakcik yang berada di hadapanku memulakan perbualan kami sambil beratur menanti giliran untuk memasuki pintu masuk pasaraya tersebut.

“Itulah pakcik. Mungkin anak-anak mereka dari sekolah berasrama dan universiti dah berkumpul di rumah sebab PKP ni”, balasku menjawab pertanyaannya itu.

“Isteri pakcik ada minta beli roti gardenia ni, harap-harap jangan la habis”, tambah pakcik tersebut lagi.

Sewaktu menunggu giliran sambil memerhatikan troli-troli yang bergerak keluar dari pasaraya, fikiranku melayang jauh memikirkan kisah sewaktu hijrah Rasulullah. Kisah bagaimana Asma’ binti Abu Bakar as-Siddiq yang berulang membawa makanan kepada Rasulullah dan ayahandanya sewaktu mereka bersembunyi di Gua Thur selama lebih kurang tiga hari dalam keadaan mengandung. Ujiannya lebih berat jika hendak dibanding dengan ujian kami pada hari ini.

Berhenti dan bersembunyi di gua tersebut adalah satu strategi supaya perjalanan hijrah tersebut tidak dapat dikesan oleh kaum musyrikin, walaupun akhirnya dapat juga dikesan oleh Suraqah bin Malik. Ia adalah kerana secara geografinya, Jabal Thur berada di arah yang bertentangan dari Mekah ke Madinah. Perjalanan hijrah Rasulullah dan Abu Bakar mengambil masa antara 10 hingga 15 hari, ada perbezaan tempoh tersebut menurut riwayat-riwayat yang ada.

“Encik, minta scan kod QR ini ya. Saya akan ambil suhu pada dahi dahulu sebelum masuk. Di depan sana kita ada sediakan hand sanitizer”, arah staf yang menjaga pintu masuk pasaraya penuh sopan dan dengan senyuman.

“Terima kasih encik”, balasku ringkas sambil membalas senyumannya.

Aku tidak mahu mengambil masa yang lama di sini. Setelah mendapatkan semua barangan yang telah ditulis, aku terus menuju ke kaunter bayaran. Sewaktu sedang menunggu giliran untuk membayar, aku terpandang deretan mainan bayi dan kanak-kanak yang digantung berdekatan kaunter bayaran tersebut. Sempat aku membelek-belek mainan-mainan di situ dan memilih dua mainan yang aku rasa Nusaibah dan Safiyyah suka. Ia tiada dalam senarai, tetapi aku rasa perlu juga membelinya supaya anak-anakku tidak terlalu bosan duduk di rumah.

Sewaktu tiba di rumah, Nusaibah berlari mahu mendapatkanku dan Safiyyah merangkak mengikut kakaknya dari belakang. Nusaibah melompat-lompat dan bersorak gembira dengan kepulanganku seakan sudah lama tidak bertemu dan ini sememangnya satu suasana yang biasa berlaku, lebih-lebih lagi sewaktu aku pulang dari kerja. Bezanya, sewaktu wabak ini kami tidak boleh terus berpeluk atau bersalaman.

“Nusaibah, bagi daddy masuk dulu. Lepas daddy mandi baru boleh peluk”, jerit isteriku dari dapur.

“Nah, mainan untuk kakak. Kakak satu, adik satu”, pujukku sambil memberi mainan yang baru dibeli tadi ketika melihat Nusaibah mencebikkan bibir dan menahan air mata dari menangis.

Melihat telatah gembira anakku sewaktu aku pulang tadi, mungkin begini juga reaksi penduduk Madinah apabila melihat kedatangan insan yang mereka tunggu-tunggu tiba. Abu Darda’, salah seorang sahabat yang menyaksikan peristiwa tersebut berkata bahawa beliau tidak pernah melihat penduduk Madinah lebih gembira dengan sesuatu seperti kegembiraan mereka tatkala kedatangan Rasulullah. Selama 10 tahun Rasulullah di Madinah hinggalah disemadikan jasadnya di dalam Masjid an-Nabawi setelah wafat pada umur 63 tahun.

Selepas beberapa minggu pergerakan rakyat terbatas, akhirnya kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan selepas itu pula diperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Pada waktu ini, aktiviti ekonomi yang terhenti dan terjejas boleh dijalankan, taska dan sekolah juga dibuka semula serta dibenarkan kembali bekerja di pejabat. Dalam fasa pemulihan ini, banyak program dan aktiviti yang melibatkan orang ramai terpaksa dibatalkan, ditangguh atau dihadkan penyertaan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menjelang bulan Rabi’ul Awwal iaitu pada bulan Oktober, telah dianjurkan pertandingan menulis cerpen sempena sambutan Maulidur Rasul di tempat aku bekerja. Pada tahun lepas, aku sempat menyertai perarakan Maulidur Rasul yang diadakan di Shah Alam. Ia adalah program berkala yang diadakan setiap tahun, kebiasaannya dengan mengadakan perarakan. Tahun ini sudah pasti perarakan tidak dapat dijalankan di mana-mana tempat atas faktor kesihatan awam.

Kali ini, aku akan cuba juga untuk menyertai dan memeriahkan sambutan Maulidur Rasul dengan menulis sebuah cerpen. Cerpen Maulidur Rasul.

Abu Bakar bin Maarof

Penolong Pendaftar,

Mahkamah Rendah Syariah Sepang,

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

11 Rabi’ul Awwal 1442 H

28 Oktober 2020 M


 
 
 

Comments


bottom of page